Serangan Keras, Melampau Membelakangi Adab Parti - Setiausaha Agung PKR
Serangan keras, melampau, keterlaluan dan dakwaan tanpa diiringi bukti terhadap pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat (PR) adalah membelakangi adab dan disiplin parti, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.Beliau berkata meskipun ruang berbeza pendapat terbuka luas dalam parti namun ia bukanlah suatu tiket untuk mana-mana anggota parti membuat serangan keras.
"PKR adalah sebagai sebuah parti yang menghormati hak individu anggotanya untuk berdebat dan berbeza pandangan dengan kepimpinan parti. Pada masa yang sama, parti menyediakan saluran dan forum untuk setiap anggota parti mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan," katanya dalam kenyataan yang di e-mel Selasa.
Saifuddin berkata kepimpinan parti tekad mengambil langkah tegas terhadap mana-mana anggota parti tanpa mengira status dan kedudukan yang melakukan kesalahan yang bertentangan dengan disiplin parti.
Katanya mereka yang dihadapkan kepada Lembaga Disiplin akan diberi ruang untuk menyampaikan hujah dan pandangan masing-masing.
Beliau juga mendakwa bahawa media telah memberi gambaran salah kononnya parti itu menghadapi kemelut dalaman yang disifatkannya tidak tepat.
"PKR dan Pakatan Rakyat menganggap gambaran sebegini sebagai sebahagian cabaran yang akan terus dihadapi semenjak lahirnya PKR dan bermulanya kerjasama Pakatan rakyat. Sudah lebih satu dekad, PKR dikatakan kucar-kacir, berpecah-belah, hura-hara dan berkecamuk," kata Saifuddin.